Salam Perjuangan!

Pakatan Rakyat (PRN9) kini membuka langkah untuk menyatukan sumber informasi Pakatan Rakyat dari seluruh Negeri Sembilan.

Sebagai permulaan PRN9 memohon jasa baik saudara-saudari dapat menyalurkan link-link laman web dari Yang Berhormat dari Pakatan Rakyat (15 dun dan 3 parlimen), juga aktivis-aktivis PR dan organisasi PR samada di peringkat cawangan hinggalah ke peringkat negeri.

Kepada Yang Berhormat Pakatan Rakyat yang belum memiliki sebarang laman web atau blog diharapkan dapat mewujudkannya segera. Antara laman YB PR N9 yang masih belum diperolehi antaranya YB (DAP) Seremban, Repah, Rahang, Temiang, Senawang, Nilai dan Lukut dan YB (PKR) Port Dickson.

Sekian, terima kasih

Perhimpunan GMI

Blog Adun PR N9

Thursday, September 25, 2008

Semoga YB Rashid Cepat Sembuh

Sama-samalah kita mendoakan agar Cikgu Rashid tabah menghadapi ujian dan cepat sembuh serta dapat kembali menjalankan tugasan sebagai wakil rakyat.

Adun Ampangan masuk hospital diserang sakit jantung

Berita Harian

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ampangan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rashid Latiff, 56, dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), di sini akibat diserang sakit jantung dua hari lalu.


Rashid yang ditemui di hospital itu hari ini berkata, beliau diserang sakit jantung ketika berada di rumahnya di Taman Rashibah Indah pada kira-kira jam 4 pagi dan dikejarkan ke HTJS dengan ambulans.

“Alhamdulillah, keadaan saya kini semakin stabil setelah mendapat rawatan. Saya dijangka keluar dari hospital petang ini,” katanya.

Katanya sebelum ini beliau pernah menjalani pemeriksaan endogram di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur selama empat hari.

Rashid berkata beliau akan membuat pemeriksaan lanjut di IJN pada 17 Oktober ini bagi menetapkan tarikh pembedahan pintasan jantung. - Bernama

Friday, September 19, 2008

Wakil MCA, MIC Antara yang Lompat

KLPOS.com

Bukan 'gimik', PAS dah tengok 'senarai lompat'

SENARAI bilangan ahli Parlimen Barisan Nasional didakwa akan menyertai Pakatan Rakyat telah dikemukakan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat PAS Ahad lalu.

Berdasarkan senarai tersebut, kebanyakan mereka adalah dari Sabah dan Sarawak itu yang beragama Islam, demikian menurut ahli jawatankuasa PAS, Ahmad Awang.

Perkara itu juga turut disahkan oleh seorang lagi ahli jawatankuasa PAS, Hashim Jasin yang juga pesuruhjaya PAS Perlis.

Ahmad, yang juga pesuruhjaya PAS Perak, berkata agenda itu dibawa daripada perbincangan Lajnah Politik parti itu sehari sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya, senarai ahli Parlimen yang dikatakan akan melompat parti itu, menurut Ahmad, tidak lengkap.

“Kita hanya umum nama-nama penting sahaja,” katanya kepada Malaysiakini.

Senarai itu, katanya, turut dibentangkan lebih awal dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang berlangsung sebelum itu.

Terdapat wakil MCA, MIC

Ekoran itu, tegasnya, kepimpinan PAS yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa pusat tersebut merasa ‘selesa’ dan yakin dengan pelan 16 September.

Dalam senarai itu juga, kata Ahmad, terdapat wakil rakyat dari MCA dan MIC yang akan menyertai Pakatan.

“Sebab itu kita tengok MCA (contohnya) ada hentam penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Itu bunga-bunganya (tanda-tanda hendak keluar daripada BN),” katanya.

Ahmad menegaskan, perancangan Pakatan untuk mengambil alih kerajaan paling lama selepas perhimpunan agung Umno.

"Walaupun mereka kata kita (buat) gimik, sebenarnya mereka panik. Perletakan jawatan (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Zaid Ibrahim dan pergolakan dalaman Umno menjelang pemilihan parti itu, memberi kelebihan kepada Pakatan,” katanya.

Diminta mengulas beberapa kenyataan pemimpin PAS yang menunjukkan pendirian tidak yakin dengan peralihan kuasa yang diusahakan Anwar, beliau berkata:

“Suara yang tidak percaya adalah dari satu hala, (mereka) agak konservatif. Kita terus dengan keputusan muktamar agung dan dalam masa yang sama berwaspada. Kita mahu mendokong kerajaan yang (pemimpin) Islam dominan. Islam sebagai pasak,” katanya.

Beliau juga menyifatkan teguran keras Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap kenyataan pengarah pilihanraya Pusat parti itu, Mustafa Ali yang berkata 16 September tidak akan berlaku, sebagai pandangan peribadi yang “berlebih-lebihan”.

Strategi politik

Manakala Hashim yang turut hadir dalam mesyuarat itu Ahad lalu mengesahkan wujudnya senarai tersebut.

Bagaimanapun, katanya, mesyuarat hanya dimaklumkan mengenai bilangannya sahaja mengikut pecahan negeri.

“(Contohnya) mesyuarat sebut Sabah berapa bilangan, Sarawak berapa bilangan, macam itulah,” katanya kelmarin telah diisytiharkan sebagai wakil rakyat Sanglang, Perlis .

Bagaimanapun, katanya, tidak ada sebarang keputusan muktamad dibuat dalam perbincangan mengenai senarai itu.

Hashim berkata, beliau tidak tahu sama ada senarai penuh diketahui oleh pemimpin-pemimpin tertentu PAS dan tidak diumumkannya atas alasan strategi politik.

“(Presiden PAS, Datuk Seri) Abdul Hadi Awang pun bukan semua dia boleh bagi tahu kita,” katanya. / Malaysiakini

Wednesday, September 17, 2008

Hassan Malek Akui Ditawarkan Sertai PR?

Pelik bin ajaib. Sebelum ini jarang sekali kita mendengar pemimpin BN ditawarkan menyertai PR, yang selalu kita dengar dan lihat ialah pemimpin PR sendiri yang cuba 'dirasuah' dengan pelbagai habuan untuk meninggalkan parti tetapi kali ini lain pula berlaku. Pengakuan Hassan Malek yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini menimbulkan seribu satu persoalan. Kalau benar beliau ditawarkan menyertai PR dengan sejumlah wang yang besar? Ayuh, cabar Hassan Malek buat laporan polis atau BPR! Dakwa individu tersebut. Atau adakah Hassan Malek mempunyai agenda tersendiri dengan membuat pengakuan sebegini cerahlah harapan beliau untuk naik pangkat menggantikan tempat Zaid Ibrahim. Hanya tuhan sahaja yang tahu. Wallahuaklam.

Utusan
Hassan tolak tawaran lompat parti

KUALA PILAH 16 Sept. – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hassan Malik hari ini mendedahkan usaha pihak pembangkang memujuknya meninggalkan UMNO dan menyertai pakatan pembangkang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, wakil pakatan pembangkang telah menemuinya beberapa kali selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 bagi membincangkan tawaran tersebut.

Tambahnya, pihak pembangkang menawarkan sejumlah wang serta jawatan sekiranya beliau melompat parti.

Bagaimanapun, Hassan menjelaskan, beliau menolak tawaran itu mentah-mentah sambil menyifatkan tindakan lompat parti sebagai tidak bermaruah.

‘‘Saya ada maruah. Bagi saya, jawatan bukanlah sesuatu yang boleh dijual beli dengan sewenang-wenangnya,” tegasnya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Motivasi Pelajar anjuran Parlimen Kuala Pilah bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pejabat Pelajaran Daerah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad, di sini hari ini.

Menurut Hasan, rakyat memberi mandat kepadanya untuk memikul tanggungjawab selaku Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari UMNO.

Sehubungan itu, tegas beliau, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk melompat parti kerana tindakan tersebut seolah-olah menipu rakyat yang mengundinya atas tiket BN.

‘‘Malah, individu berkenaan masih tidak berputus asa dan cuba memujuk saya menyertai pembangkang selepas pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, baru-baru ini,” tegas Hassan.

Thursday, September 11, 2008

Cemas Lagi Mohamad Hasan

Sudahlah 16 September semakin hampir, target PR bukan hanya untuk menawan Putrajaya tetapi juga Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan yang dilihat sudah semakin hampir. Dan yang pastinya juga tidur Mohamad Hasan tidak lagi senyenyak dahulu apabila kini pemimpin-pemimpin BN di peringkat akar umbi pula sudah mula baralih arah. Ugutan-ugutan pemimpin BN nyata tidak menakutkan lagi rakyat yang berani membuat perubahan. Syabas kepada PPP, MCA dan MIC di semua bahagian di Negeri Sembilan.

29 pemimpin BN di NS sertai PKR

Malaysiakini

Seramai 29 pemimpin cawangan dan bahagian parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk seorang timbalan ketua bahagian Parti Progresif Penduduk (PPP), telah menyertai PKR Negeri Sembilan hari ini.

Seramai 19 pemimpin PPP di peringkat dewan undangan negeri (DUN) di Parlimen Teluk Kemang, yang diketuai oleh timbalan ketua bahagian PPP Teluk Kemang, S Karupusammy, menyerahkan borang keahlian kepada pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abas dalam satu majlis di Seremban pagi tadi.

Turut menyertai PKR hari ini ialah tujuh pemimpin cawangan dan ahli jawatankuasa (AJK) MCA bahagian Seremban, Teluk Kemang, Jempol dan Kuala Pilah.

Selain mereka, tiga AJK cawangan Pemuda Umno di Rembau dan Kuala Pilah, turut berbuat demikian.

Setiausaha PKR Negeri Sembilan, Sabaruddin Mohd Yassin berkata, parti itu mengalu-alukan kemasukan mereka bagi menguatkan kedudukan parti itu di negeri tersebut.

"Kita mengamalkan sikap tangan terbuka dan menggalakkan sesiapa sahaja untuk menyertai PKR.

"Kemasukan Karupusammy penting kerana kekuatan PPP Negeri Sembilan ialah di bahagian Teluk Kemang.

"Berikutan itu, kita menjangka sebahagian besar daripada 2,000 ahli PPP Teluk Kemang, akan menyertai PKR tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengakuan pemimpin berkenaan, lebih ramai ahli ketiga-tiga parti komponen BN itu akan menyertai PKR.

Sabaruddin berkata, kemasukan ahli Umno melalui bahagian PKR di Negeri Sembilan amat menggalakkan.

"Jumlahnya ramai sehingga membimbangkan pemimpin Umno termasuk Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan," katanya.

Wednesday, September 10, 2008

Apabila Mohamad Hasan Dah Mula Gelabah

Kenyatan akhbar Utusan hari ini cukup membuktikan bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan mula gelabah dan cuak dengan cakap-cakap kedai kopi bahawa terdapat Adun-adun BN yang akan menyertai Pakatan Rakyat. Ugutan untuk membubarkan Dun Negeri Sembilan membuktikan BN tidak sanggup menghadapi kenyataan negeri ini bakal menjadi negeri keenam kerajaan PR. Ugutan ini juga dilihat sebagai balasan kepada wakil-wakil BN yang hendak menyertai Pakatan. Mohamad Hasan harus fikir dua kali, jangan terlalu yakin untuk untuk menawan kembali kerusi-kerusi PR. Terlupakah beliau tragedi BN di Permatang Pauh?


Negeri Sembilan akan bubar DUN

Utusan

SEREMBAN 9 Sept. - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau akan membubarkan Dewan Undangan Negeri jika terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti hingga membolehkan pembangkang menguasai negeri berkenaan.

Menurut Mohamad, tindakan itu diambil kerana beliau yakin Barisan Nasional (BN) mampu memperoleh lebih banyak kerusi jika pilihan raya diadakan.

"Jika ini berlaku, saya akan bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri dan saya yakin lebih banyak kerusi yang akan kita dapat kerana saya rasa rakyat sudah mula bosan dengan permainan pembangkang.

"Kita percaya tiga kerusi UMNO yang tewas kepada pembangkang di Paroi, Sikamat dan Ampangan akan dirampas semula," kata beliau di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Dividen Rancangan Tanaman Baru Berkelompok (RTBB) serta program khas RISDA negeri di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi dan Timbalan Ketua Pengarah RISDA (Pengurusan dan Korporat), Wan Mohamad Zuki Mohamad.

Mohamad bagaimanapun yakin ADUN BN tidak mudah untuk dibeli oleh pembangkang.

Mohamad berkata, beliau optimis kerajaan BN yang ada pada hari ini cukup kukuh untuk mentadbir negeri dan negara serta tidak akan termakan sebarang hasutan walaupun dijanjikan imbuhan yang tinggi.

"Saya tidak fikir ada ADUN di negeri ini yang akan melompat dalam parti pembangkang atau dibeli. Berdasarkan maklumat, saya dengar ada yang ditawar dengan 'harga' yang begitu mahal," katanya.

Tuesday, September 9, 2008

Kerajaan N9 juga bakal tumbang 16 September - Chegubard


Dari blog Chegubard
"Nasihat kepada pimpinan Bn N.S jangan heboh Anwar nak ambil kerajaan persekutuan tetapi perlu sedar NS juga akan jadi negeri pertama akan tumbang selepas 16 Sept. keADILan sudah punya hubungan dengan lebih dari 4 ADUN Bn NS semenjak selepas PRU 12. PAKATAN hanya memerlukan 5 kerusi DUN sahaja lagi untuk mentadbir NS."

Saturday, September 6, 2008

ADUN Lenggeng hadapi dua tuduhan rasuah

Mustafa Salim yang menggantikan Ketua Bahagian Umno Seremban, Datuk Ishak sebagai ADUN Lenggeng didakwa dengan dua tuduhan rasuah tetapi hanya akan dibicarakan pada 26 Januari tahun hadapan.

Beliau yang memenangi Dun Lenggeng dengan menewaskan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Saudara Zulkefley Mohamad Omar pada pilihanraya umum baru-baru ini. Dun Lenggeng merupakan satu-satunya Dun yang dimenangi BN dalam Parlimen Seremban.

SEREMBAN 5 Sept. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan kawasan Lenggeng, Mustafa Salim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan RM5,000 daripada seorang kontraktor, Ogos lalu.

Dalam pertuduhan pertama, Mustafa pada pukul 11 pagi 28 Ogos lalu di Lot 1321, Mukim Pantai di sini didakwa secara rasuah meminta melalui Mustapa Pendek untuk dirinya suatu suapan wang tunai RM3,000 daripada M. Manimaran.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mustafa, 50, didakwa pada pukul 5 petang 31 Ogos 2008 di Restoran Jabrin Maju, 17, Bunga Raya 2/1, Taman Bunga Raya Mantin secara rasuah menerima untuk dirinya suapan wang tunai sebanyak RM2,000 juga daripada Manimaran.

Tertuduh didakwa meminta kedua-dua suapan tersebut sebagai dorongan bagi mengeluarkan surat sokongan kepada Manimaran untuk mendapatkan permit menjual pasir.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta itu.

Tertuduh yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan tersebut dan minta dibicarakan.

Hakim Kamarudin Kamsun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 atas kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin. Perbicaraan ditetapkan mulai 26 Januari depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Razak Musa manakala tertuduh diwakili peguam bela S. Parameswaran, Raftfizi Zainal Abidin dan Abdul Halim Othman.

Pendakwaan ke atas Mustafa merupakan kes rasuah yang kedua membabitkan ahli UMNO Bahagian Seremban dalam tempoh seminggu lalu.

Pada 2 September lalu, Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd. Nor Awang turut dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan memberi suapan sebanyak RM700 kepada Ketua Cawangan UMNO Taman Zaiton Indah di Sikamat, Rezwat Shahril Zainal Ariffin.

Sumber : Utusan