PAS gagal di Bagan Pinang. Banyak yang akan diperkatakan pasca PRK ini. Adakah benar BN sudah menambat hati pengundi atau sebenarnya jentera PAS gagal melaksanakan misinya? Majoriti lebih 5000 undi amat mengejutkan tatkala ramalan ramai ahli nujum pilihan raya menganggarkan kemenangan tipis bakal menjelma lagi seperti di Manek Urai.
PAS juga gagal membolot undi pos. PAS hanya mendapat sekitar 600 undi sahaja dari sang perajurit negara selebihnya terus memangkah BN.
Terima kasih kepada barisan petugas pilihan raya yang datang dari seluruh negara juga kepada rakan-rakan dari pakatan rakyat khususnya PKR dan DAP. Kerja keras barisan pemimpin utama rakan pakatan rakyat seperti DSAI dan isteri, TSK, LGE dan lain-lain amat dirasakan terutamanya menjelang 11 Oktober. Sayang bagi pemimpin PAS, mereka yang duduk di saf utama boleh dikira dengan jari sedangkan calon yang bertanding adalah calon mereka.
Pengalaman di Bagan Pinang seharusnya diambil sebagai pengalaman yang paling berguna oleh barisan kepimpinan PAS N9. Keutamaan kepada parti harus didahulukan berbanding kepentingan peribadi, penduduk Bagan Pinang jelas menolak calon luar. Pengundi bukan kisah pun calon itu rasuah atau tidak kerana itu adalah sebahagian daripada gaya hidup mereka. PAS tiada isu untuk melawan calon BN walaupun diketahui umum sebagai calon rasuah. Sepatutnya PAS fokus kepada isu di peringkat negeri seperti isu tanah adat, isu kerajaan tiga beradik dan isu-isu yang lebih bersifat nasional.
Kepada Mohamad Hassan, kahadiran Isa akan menjadikan beliau akan lebih berhati-hati. Panglima-panglima Isa akan kembali menyusun strategi supaya Isa akan dikembalikan ke jawatan Menteri Besar. Tidur Mohamad Hasan tidak akan terus lena diganggu Isa yang akan memburunya di setiap penjuru. Buat pesuruhjaya PAS N9, janganlah terlalu syok sendiri, fikirlah banyak kali sebelum menawar diri. Sedih melihat calon pakatan rakyat yang betanding di Bagan Pinang sebenarnya tidak mendapat tempat di kawasan sendiri. Leka dengan berkonfrantasi menjadi agenda setiap hari. Didoakan semoga tiada PRK di N9 lagi.